Peminat Pasti Akan Lebih Menyampah, Benci Saya - Raja Ilya

Ketika mula-mula menceburi bidang lakonan dulu, akui Raja Ilya dia cukup bimbang sekiranya diberikan watak antagonis. Risau kalau-kalau dia dibenci penonton. Namun selepas beberapa kali dicabar menghidupkan watak jahat, aktres yang wajahnya persis bintang Bollywood ini semakin yakin untuk memengang karakter seorang wanita jahat. Dia sudah tidak kisah lagi soal kalau dibenci peminat kerana itu membuktikan lakonannya nyata menjadi.

Akui Ilya, riak mukanya yang 'nampak' jahat menarik perhatian ramai pengarah yang mahu menawarkan dia dengan karakter tersebut. Terbaru, Raja Ilya sekali lagi diberi peranan memengang watak antagonis menerusi sebuah telenovela berjudul 'Cinta Ibadah' yang akan ditayangkan di saluran Astro mulai September depan.

Memegang watak sebagai Ratna, kata pelakon berusia 29 tahun ini dia yakin lakonannya kali ini pasti membuatkan dia akan lebih dibenci oleh para penonton.

'Cinta Ibadah' arahan Ayie Mustafa dan Sridhar Jetty menjalani penggambaran sejak bulan Februari hingga Julai lalu.

"Dulu memang saya risau kalau kena bawa watak jahat. Takut kalau orang benci saya. Tapi selepas saya cuba untuk drama 'Dahlia', 'Mana Hilangnya Juwita' dan 'Tiara', saya jadi yakin untuk bawa watak jahat. Saya tak kisah orang bash saya kerana watak saya sebab itu tandanya saya berjaya. Ramai juga yang cakap sebenarnya saya memang sesuai bawa karakter antagonis sebab muka saya ni muka perempuan perampas. Saya rasa itu satu kelebihan juga lah (gelak). "Untuk watak dalam 'Cinta Ibadah' ini pula, saya yakin penonton akan bertambah benci dan menyampah pada saya. Sebab bila di set, saya sendiri saya benci dengan karakter saya ni. Saya 'super' aggresif kali ini", kata Raja Ilya ketika ditemui pada sidang media 'Cinta Ibadah', kelmarin.

Tiru Cara Loki (Thor)
Pun begitu, akui Raja Ilya bukan mudah untuknya menghayati watak tersebut. Sebagai memberi kelainan dalam mengintepretasikan karakter Ratna, dia menjadikan karakter Loki dalam filem Marvel terhangat, 'Thor' sebagai rujukannya.

"Masa mula-mula dapat skrip, saya terkejut sebab karakter Ratna peranannya nampak sama macam lakonan-lakonan antagonis saya sebelum ini. Saya takut orang bosan dengan lakonan saya. Jadi, lepas saya baca skrip daripada episod satu sampai episod 80, saya cuba cari cara untuk beri kelainan.

"Saya suka watak Loki dalam 'Thor'. Saya jadikan dia sebagai garis panduan untuk hidupkan watak saya. Ada reaksi-reaksi Loki yang saya tiru. Saya nak cabar diri saya sejauh mana aggresif yang saya boleh berikan pada penonton. Ada beberapa sentuhan Loki yang buat saya tertarik dan saya cuba suntikkan dalam lakonan saya.

"Selain itu, saya akan pastikan yang muka saya nampak elok bila terlalu buat ekpresi marah. Sebab, ada sesetengah orang mukanya akan nampak buruk bila marah-marah. Saya tak mahu begitu, jadi apa saya buat? Saya kerap berlatih depan cermin", katanya.

Beritahu Raja Ilya lagi, sepanjang di set boleh dikatakan hampir 90% menuntutnya beremosi, marah-marah dan harus menjerit-menjerit menyebabkan kesihatannya terganggu. Namun dia berusaha untuk memberikan lakonan yang terbaik.

"Sepanjang di set, kalau saya ada 100 babak, 99 daripadanya adalah babak yang menuntut saya beremosi marah dan menjerit. Akibatnya kesihatan saya agak terganggu. Saya demam, selsema, hilang suara dan sehingga tahap badan saya mengigil. Mungkin disebabkan saya terlalu menjerit-jerit. Tapi dapat juga saya habiskan penggambaran.

"Selain tu ketika penggambaran drama ni saya juga ada terima tawaran lain. Sedikit sebanyak membantu saya untuk keluar seketika daripada emosi tegang.

"Tapi sewaktu penggambaran pun saya agak tertekan ekoran insiden MH370 dan MH17. Saya memang sangat sedih apabila mengetahui tentang berita itu. Lebih-lebih lagi insiden MH17 yang mana kawan baik saya antara mangsa insiden tersebut. Kawan saya bersama suami dan anaknya nak balik Malaysia dan kami berjanji nak jumpa. Dia bersungguh benar suruh saya buatkan satay untuknya. Masa dapat tahu berita tu saya memang susah nak teruskan penggambaran tapi saya terpaksa juga tahan perasaan sedih saya", cerita bekas pramugari Malaysia Airlines ini dengan nada sebak.

Selain Raja Ilya, drama rantaian yang dijangka bakal mencecah ratusan episod ini diterajui gandingan pelakon baru, Fattah Amin dan Aishah Ilias disamping barisan pelakon lain seperti Nor Albaniah, Sherry Ibrahim, Hisyam Hamid dan Sharolnizam.

Kisah cinta abadi meruntun jiwa ini bakal ditayangkan setiap Isnin hingga Jumaat, jam 5 petang mulai 8 September 2014 secara eksklusif di Astro Prima, Maya HD, Ria PLUS dan Astro On The Go.

Share on Google Plus

About Admin Bola

Ms. Lilebit is a wife and mother who is currently became fulltime housewife. She love about blogging and writing.
    Blogger Comment

0 comments:

Post a Comment