Kepulangan Nabila Huda ke pangkuan tersayang selepas hampir setahun anak dan bapa ini bersengketa, dianggap hadiah hari jadi yang cukup bermakna buat penyanyi rock, Amy Search.
Akui Amy, kepulangan anak sulungnya yang selama ini cukup dinantikan, tidak boleh dibandingkan dengan sebarang hadiah, biar semahal manapun nilainya.
“Tiada satu benda pun dalam dunia ini boleh menjadi galang ganti kepada hadiah hari jadi saya. Syawal ini memang cukup bermakna apabila Abil pulang ke kampung menyambut raya bersama-sama.
“Lebih bermakna lagi apabila saya turut meraikan ulang tahun yang ke-56 pada hari mulia.
“Tahun lalu, saya menanti kepulangan Abil dari Syawal pertama. Saya tidak kisah Abil hendak beraya dengan ibunya terlebih dulu, dengan saya kemudian-kemudian, tidak mengapa.
“Tetapi luluh hati saya apabila hingga akhir Syawal, Abil tidak datang menjenguk,” katanya.
Namun, di sebalik apa yang berlaku, Amy sentiasa berfikiran positif.
“Saya yakin setiap yang berlaku pasti ada penghujungnya. Malah, sepanjang Ramadan yang baru berlalu, saya bersama isteri dan ibu tidak putus-putus berdoa agar Abil kembali kepada kami.
“Alhamdulillah, Tuhan kabulkan doa kami,” katanya yang meraikan Syawal di kampung halamannya di Bakar Batu, Johor.
Menurut Amy, Nabila pulang menjenguknya beberapa hari sebelum Aidilfitri.
Kira-kira 10 hari sebelum Syawal, Nabila memulakan langkah dengan menghubunginya.
Mereka berbual panjang di corong telefon dan selang beberapa hari berikutnya, Nabila datang ke rumah untuk berbuka puasa bersama.
0 comments:
Post a Comment